PROGRAM JAMINAN KESELAMATAN MAKANAN MALAYSIA


Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) diwujudkan bagi membantu pengusaha-pengusaha makanan memahami dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Ia merupakan garis panduan kepada para pengusaha dalam menghasilkan makanan yang selamat dan mengekalkan premis yang bersih.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam menetapkan piawaian kebersihan makanan dan peraturan-peraturan yang berkaitan. Antara program atau pensijilan yang dikelolakan dibawah KKM ialah:

1) Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP)

Elemen yang berkaitan dalam GMP:contoh manual program jaminan keselamatan makanan
  • ·         Bangunan dan Kemudahan
  • ·         Kawalann Operasi
  • ·         Penyelenggeraan dan Sanitasi
  • ·         Pekerja
  • ·         Pengangkutan dan Pengedaran
  • ·         Pengesanan
  • ·         Audit Dalaman
  • ·         Latihan

2) Pensijilan HACCP
·         Elemen yang berkaitan dengan HACCP
  • ·         Menjalankan analisa bahaya ( hazard analysis)
  • ·         Menentukan titik kawalan kritikal
  • ·         Mewujudkan had kritikal bagi setiap titik kawalan kritikal
  • ·         Mewujudkan sistem pemantauan dan kawalan bagi setiap titik kawalan kritikal
  • ·         Mewujudkan kaedah pembetulan
  • ·         Mewujudkan prosedur pengesahan
  • ·         Mewujudkan rekod dan dokumentasi

3) Program Jaminan Keselamatan Makanan di Kilang- Berdasarkan kepada peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009

  • ·         Skim Keselamatan 1Malaysia (SK1M)
  • ·         Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)

Prosedur yang perlu disediakan bagi melaksakan PJKM

  • ·         Prosedur Program Pembersihan dan Sanitasi
  • ·         Prosedur Kawalan Perosak
  • ·         Prosedur pembuangan dan pelupusan sisi makanan dan kotoran
  • ·         Prosedur penyimpanan makanan (Bahan makanan mentah, Ramuan dan makanan yang telah diproses)
  • ·         Prosedur program latihan. Ini termasuk menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan sekali seumur hidup bagi pengendali makanan.
  • ·         Prosedur program pemeriksaan kesihatan pengendali makanan. Ini termasuk memberi suntikan typhoid kepada pengendali makanan setiap tiga (3) tahun.
  • ·         Prosedur pengendalian makanan dan perkakasan
  • ·         Prosedur penyediaan makanan.
  • ·         Prosedur pembungkusan makanan
  • ·         Prosedur pengangkutan makanan
  • ·         Prosedur Pengesanan produk
  • ·         Prosedur Verifikasi Produk SIap
  • ·         Prosedur penarikanbalik produk


SKIM KESELAMATAN MAKANAN 1MALAYSIA (SK1M)


Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M) diperkenalkan bagi membantu pengusaha-pengusaha di dalam industri pemakanan secara langsung untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 secara berperingkat. Ia merupakan persediaan ke arah Skim Pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP) dan Hazard AnalysisCritical Control Point (HACCP).

Terdapat tiga (3) skim di dalam program SK1M iaitu:

1) Pemeriksaan Keselamatan Makanan (PKM)

Keperluan am bagi skim PKM:
  • Bekalan air
  • pemeriksaan kesihatan
  • Kebersihan
  • Penyimpanan
  • Pembuangan dan pelupusan sampah
  • Kawalan makhluk perosak dan premis
  • latihan pengendali makanan
  • Infrastruktur
  • Lokasi
  • Rekabentuk

2) GMP 1Malaysia
Keperluan Am bagi skim GMP 1MAlaysia:
  • Latihan
  • Pekerja
  • Penyelenggeraan dan Sanitasi
  • Kawalan pemprosesan makanan
  • Pembungkusan makanan
  • Penyimpanan makanan
  • Pengedaran Makanan
  • Kawalan Bahan Mentah
  • Kawalan Makhluk perosak
  • Kawalan Bahan Kimia
  • Kawalan bahan buangan dan pelupusan sisa
  • Sistem kebolehkesanan makanan
  • Rekod dan Bukti pelaksanaan
  • Verifikasi pegawai berkuasa

3) HACCP 1Malaysia
Keperluan am bagi skim HACCP 1Malaysia:

  • Carta Alir proses
  • Analisis bahaya proses
  • Ringkasan Pelan HACCP
  • Deskripsi produk dan pengguna
  • Rekod-rekod pemantauan

Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industi (MeSTI)

Skim pensijilan MeSTI merupakan program penjenamaan semula bagi program SK1M.Di dalam program pensijilan MeSTI, ia merangkumi semua aspek yang terdapat di dalam program SK1M selain ia disatukan di bawah satu logo MeSTI yang sijilnya sah selama 3 tahun. Program ini disasarkan  kepada semua golongan enterprise makanan.

KEPENTINGAN KUALITI TERHADAP IMEJ SYARIKAT


Kualiti penting bukan sekadar untuk mencapai kepuasan pelanggan tetapi salah satu alat untuk memastikan syarikat terus berfungsi.Mengapa kualiti perlu sentiasa dipelihara?

Ianya bagi memastikan produk kita masih menjadi pilihan pelanggan yang setia dan bakal pelanggan,menjarakkan kita daripada pesaing yang mengekori dengan rapat,meningkatkan produktiviti,mengurangkan kos dan paling penting memastikan syarikat kita terus hidup.
Ingat tujuan pertama kewujudan syarikat mengikut Deming adalah untuk memastikan syarikat terus wujud dan hidup (survive) dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dengan mencipta ruang dan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Jadi berdasarkan kenyataan di atas kualiti adalah imej sesebuah syarikat terhadap tanggungjawab dan peranannya terhadap syarikat dan masyarakat. Sebenarnya hampir kesemua syarikat tahu kualiti adalah istilah dalaman syarikat sebaliknya keluar sahaja produk daripada syarikat ianya telah menjadi Imej yang perlu dijaga.Imej produk dan syarikat yang baik akan memastikan kesetiaan pelanggan terhadap kita berkekalan dan sentiasa meningkat. Sebenarnya saya sendiri pernah ditegur oleh bekas majikan saya,

Kenapa kamu berusaha bermati-matian menjaga (dalam kes saya memeriksa dan menguji produk) produk kita sedangkan imej kita melalui produk tersebut telah tercemar?Pelanggan tidak akan nampak usaha kita yang bersungguh-sungguh demi memenuhi kehendak mereka jika kita tidak memberitahu mereka. Saranan beliau saya harus keluar bertemu pelanggan dengan segala usaha penambahbaikan dan perancangan peningkatan kualiti bagi memulihkan IMEJ kita dan mendapatkan keyakinan mereka kembali.Memang betul,pelanggan kembali kepada kita dengan beberapa cadangan penambahbaikan produk dan perkhidmatan disamping tip-tip kelebihan pesaing.

Didalam industri kita tidak bersaing atas kelemahan pesaing sebaliknya atas kelebihan produk masing-masing. Sebagai pengguna kita akan membeli produk yang kita rasa lebih baik (disamping imej JENAMA) dan mempunyai kelebihan - kelebihan tertentu.

Sebagai kesimpulannya marilah kita menjaga imej produk dan syarikat kita dengan sentiasa me war-warkan kebaikkan dan kelebihan kita dan bukannya bercakap mengenai kelemahan kita.Kelemahan kita perlu diatasi dengan bersungguh-sungguh ketika ianya berada di dalam syarikat kita. Kualiti itu ibarat CERMIN yang menunjukkan imej kita.

KAEDAH MENARIK MINAT PELANGGAN


Pelanggan merupakan aset bernilai kepada sesebuah perniagaan. Tanpa kehadiran pelanggan, pasti sesebuah perusahaan itu tidak mampu menjana pendapatan dan memperoleh keuntungan.

Anda mungkin memiliki ramai pelanggan. Namun, anda juga mahukan mereka untuk kekal setia dengan perkhidmatan anda. Bagaimana caranya? Ketahui 5 kaedah berikut.

#1-Ucap Terima Kasih

Ucapan perhargaan diberikan atas kesudian mereka meluangkan masa memberi peluang kepada kita untuk memberi perkhidmatan sehingga pembelian dilakukan.

Mereka sebenarnya telah meluangkan masa untuk mendengar penjelasan yang lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan. Hargai masa mereka dan jangan hilang fokus dalam melayan pertanyaan.

Ucap terima kasih dengan cara menggunakan ayat yang memuliakan. Akhiri dengan doa. Kita doakan pelanggan dapat kebaikan dengan penggunaan produk kita. Jangan sekadar ucap macam orang pemalas..

Contoh…. “K, tq ats byrn.”

Nampak sangat acuh tak acuh.

#2-Tepati Janji

Contoh : Beritahu 3 hari bekerja produk akan sampai. Tak sampai 2 hari sudah sampai depan rumah. Beritahu 10 hari pesanan akan disiapkan. Tak sampai 7 hari dah siap, free delivery lagi!

Beritahu baju dobi siap petang lusa. Petang esok dah siap. Siap buat panggilan lagi maklumkan kepada pelanggan. Brainstorm dengan team apa lagi ‘wow’ factor yang boleh menggembirakan pelanggan dan yang berada di luar jangkaan mereka.

#3-Hubungi Untuk Tanya Maklumbalas

Selepas beberapa hari, tanya maklumbalas. Ada apa-apa bantuan yang mereka perlukan lagi atau tidak. Suka, puas hati atau tidak puas hati dengan produk kita.

Daripada tunggu mereka buat panggilan untuk beri maklumbalas atau buat aduan, jauh lebih baik kita yang hubungi mereka dahulu.

#4-Tawarkan Diskaun Untuk Pembelian Seterusnya

Diskaun mestilah istimewa. Apa maksud istimewa? Adakah dengan menawar dengan diskaun tinggi? Tidak. Diskaun tinggi tanpa alasan kukuh boleh menyebabkan pelanggan kecewa.

Mereka akan rasa belian kali pertama itu mereka bayar dengan harga silap. Mereka rasa dipermainkan. Boleh tawarkan special discount untuk produk berlainan yang berkait rapat dengan produk pertama mereka beli. Untuk produk sama, tawar diskaun rendah sahaja sebagai tanda penghargaan.

#5-Tambah Nilai Dengan Sediakan Maklumat Berguna

Hantar maklumat berguna kepada pelanggan. Maklumat itu mesti ada kaitan dengan produk yang dibeli. Maklumat haruslah ringkas, padat dan actionable. Usah terlalu kerap. Sebulan 1 hingga 2 kali pun sudah cukup.

Contoh : Siapa yang jual periuk noxxa, boleh hantarkan video masakan resepi terkini menggunakan periuk tersebut.

Bila pelanggan gembira, mudah untuk mereka beli produk lain pula dengan kita. Mulut mereka pun laju menyarankan perniagaan kita kepada rakan-rakan terdekat.

Sumber: https://www.majalahniaga.com/mahu-tambat-hati-pelanggan-ikuti-5-kaedah-ini-untuk-pelanggan-terus-melekat.html

5 BAHAGIAN PALING PENTING DALAM BISNES YANG USAHAWAN PERLU TAHU


Seorang usahawan mesti mempunyai satu perancangan perniagaan yang baik. Perancangan perniagaan merupakan salah satu alat pengurusan untuk mencapai objektif perniagaan dan ada beberapa perkara paling penting untuk anda tahu.

Berikut merupakan 5 bahagaian paling penting dalam bisnes yang usahawan perlu tahu :

#1- Angan-Angankan Bagaimana Ia Akan Mencapai Kejayaan (Matlamat)

Orang putih popularkannya dengan perkataan ‘think big’. Bila kita mahu angan-angan dalam bisnes, kita perlu letakkan sejarah lama, kemahiran atau sumber yang belum kita ada di ‘belakang’ dahulu.

Masa saya tinggal hanya satu kedai (3 kedai yang lain ditutup), angan-angan saya pada masa itu, mahu bina semula 3 kedai di masa akan datang. Dari angan-angan menjadi impian. Dari impian menjadi matlamat. Matlamat adalah sesuatu yang yang akan dicapai. Tugas usahawan adalah berusaha memendekkan masa intuk mencapainya.

#2- Pelan-pelan Dikenalpasti

Biasanya akan ada dua pelan, pertama, jangka masa pendek yang lebih kepada membina fizikal bisnes, dan aktiviti yang pantas untuk peroleh pendapatan untuk syarikat. Kedua, pelan jangka masa panjang. Fokus kepada membina kemahiran seperti Leadership, seni menjual, seni membina organisasi dan menghasilkan ‘unfair advantage’ sendiri.

#3- Sumber Dicari

Apabila sudah ada pelan, mesti sumber-sumber asasnya perlu dicari. Sumber ini bukan kepada kewangan sahaja, tetapi melibatkan perkara yang lebih luas. Contohnya, modal sosial, pakatan bisnes, calon-calon pekerja untuk jawatan tertentu, sehinggalah kepada mentor yang dapat membantu kita menyusun strategi bisnes.

#4- Tindakan Dibuat

Buat sahaja. Jika suatu bisnes itu perlukan beberapa perkara asas, dan kita telah ada, tidak perlu menunggu lama. Ingat, kita perlu membaca gaya membeli bakal pelanggan. Apa yang mereka suka untuk membeli, dan apa yang membuatkan mereka memilih bisnes kita. Ia hanya boleh dibaca, dari ‘lapangan’.

#5- Sentiasa Perbaiki Perancangan & Sumber Bisnes

Saya masih ingat lagi pada tahun 2010, saya menyusun fasa selama 4 tahun untuk bangkit semula dalam bisnes. Ada tiga fasa besar (ia adalah plan), dan puluhan fasa kecil dibawahnya yang perlu dicapai. Termasuklah sumber yang perlu ada.

Boleh dikata setiap hari, saya bertanyakan soalan ini, “Adakah cara yang lebih baik untuk selesaikan fasa-fasa ini?” Bila selalu bertanya, ia mengarah cara berfikir kita lebih kreatif dalam memperbaiki plan bisnes. Plan, perlu ada ‘dateline’. Jika tidak, ia bukanlah suatu plan.

Setiap orang boleh mencipta kejayaan bisnesnya sendiri. Berjaya dalam bisnes bukan bermakna berapa singkat kita boleh hasilkan keuntungan. Tetapi berapa lama kita terus mempercayai akan hasil akhir (besar) yang akan kita perolehi.

Usahawan tidak akan pernah mengalah!


Sumber: https://www.majalahniaga.com/5-bahagian-paling-penting-dalam-bisnes-yang-usahawan-perlu-tahu.html

KEBAIKAN SKIM PENSIJILAN MESTI


Antara manfaat yang diperolehi apabila menyertai program MeSTI adalah:

1) Memenuhi kriteria perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009

2) Memudahkan proses permohonan Sijil Penjualan Bebas iaitu dalam tempoh satu (1) Hari TANPA dokumen tambahan.

3) Bimbingan pelabelan PERCUMA oleh KKM kepada EKS

4) Membantu pihak EKS menyertai Program Pembangunan di bawah naungan SME Corp dan akses kepada bantuan kewangan.

5) Memudahkan pemasaran produk di pasaraya besar, KR1M, COOP1M dan sebagainya.

6) Mendapat manfaat dari segi promosi.

7) Pelekat logo MeSTI percuma akan diberikan kepada enterpris yang berjaya mendapat sijil pengiktirafan buat kali pertama.

8) Meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pengguna dengan adanya pelekat logo MeSTI pada produk makanan tersebut.

Tempoh sah laku Pensijilan MeSTI adalah selama tiga (3) tahun dan pengusaha yang mendapat kelulusan Pensijilan MeSTI hendaklah mematuhi kepada garis panduan yang telah ditetapkan dan hendaklah membuat pembaharuan selewat-lewatnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh dari tarikh yang tertera di Sijil yang diberikan.

SKIM PENSIJILAN MESTI (MAKANAN SELAMAT TANGGUNGJAWAB INDUSTRI)


SKIM PENSIJILAN MAKANAN SELAMAT TANGGUNGJAWAB INDUSTRI (MeSTI)



Pengenalan

Pada tahun 2012 Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia atau SK1M telah diberi penjenamaan semula kepada Skim Pensijilan “Makanan Selamat tanggungjawab Industi (MeSTI)”. Badan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan program tersebut ialah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan atau BKKM. BKKM merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan bagi pasaran domestik dan global adalah terjamin. Skim ini mampu menjadi satu landasan yang dapat melonjakkan pembangunan industri makanan kepada satu tahap yang lebih berdaya saing dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa sekaligus meningkatkan nilai pendapatan golongan EKS dan menyumbang kepada ekonomi dalam negara. Skim pensijilan MeSTI merupakan penambahbaikan daripada skim sebelumnya iaitu SK1M yang bertujuan memudahkan usahawan makanan terutamanya golongan kecil dan sederhana (EKS) demi memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Skim pensijilan MeSTI Pihak pengusaha makanan akan dibimbing didalam program pensijilan MeSTI dalam membangunkan dan melaksanakan program jaminan keselamatan makanan sebelum sijil pengiktirafan diberikan. Di dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan ini, pihak pengusaha perlu mengadakan satu sistem amalan terancang dan didokumentasikan beserta rekod-rekod kawalan. Penekanan atau elemen-elemen penting yang diberi tumpuan dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan yang berkesan adalah kawalan premis, kawalan operasi dan kebolehkesanan (traceability).

Pelaksanaan skim pensijilan MeSTI ini juga melibatkan jalinan kerjasama pintar dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan dan swasta dari aspek akses bantuan kewangan dan pemasaran. Antara agensi- agensi yang terlibat adalah Small and Medium Enterprise Cooperation Malaysia (SME Corp. Malaysia), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan pasaraya-pasaraya besar. Tujuan utama kerjasama pintar ini adalah untuk menarik pihak industri makanan untuk melaksanakan MeSTI melalui keperluan pemasaran yang ditetapkan oleh pihak pasaraya.Sebagai tambahan, pengusaha makanan yang mengikuti Program MeSTI ini akan mendapat penilaian Competitive Rating Evaluation atau SCORE yang digunapakai oleh SME Corp untuk menklasifikasi rating sesebuah syarikat juga program bimbingan daripada SME Corp.

Selain daripada itu, skim pensijilan mesti juga diiktiraf oleh agensi-agensi kerajaan seperti FAMA dan Pensijilan Halal Malaysia oleh JAKIM dan memudahkan pengusaha makanan mendapat kelulusan pengiktirafan Halal JAKIM.

Permohonan dan Bayaran Skim Pensijilan MeSTI

Permohonan Skim Pensijilan MeSTI hendaklah menggunakan borang khas yang disediakan dan hendaklah dikemukakan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berhampiran dengan premis. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan kerana permohonan Skim Pensijilan MeSTI diberikan secara percuma.

PROSPEK YAKIN UNTUK MEMBELI DENGAN 4 JAMINAN PULANGAN WANG BERIKUT!


Keyakinan dalam membeli itu terjadi sekiranya pembeli benar-benar memahami dan sanggup berdepan dengan pelbagai kemungkinan terhadap pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan.
Hal ini demikian kerana, pembeli mempunyai kuasa yang besar dalam membuat pilihan atas sesuatu pembelian. Justeru, empat (4) jaminan berikut bakal meningkatkan kuasa membeli oleh prospek dalam mendapatkan produk dan perkhidmatan yang diinginkan.

#1-Wang Dipulangkan Tanpa Soal

Jaminan jenis ini tidak melibatkan apa-apa kos pada pelanggan. Terus dikembalikan wang tanpa banyak soal sekiranya pelanggan berasa tidak puas hati akan produk dan perkhidmatan yang disediakan.

#2-Wang Dipulangkan Berdasarkan Terma Dan Syarat

Jaminan jenis ini ada terma dan syarat. Jaminan ini mestilah mengikut syarat-syarat tertentu sahaja. Jika syarat dilanggar atau tidak dipenuhi, wang tidak akan dikembalikan.
Salah faham sering berlaku apabila penjual tidak menerangkan secara jelas kepada pembeli. Pembeli juga tidak ambil langkah baca dahulu sebelum membuat keputusan.

#3-Wang Dipulangkan Dalam Masa XX Hari

Contoh :
Guna selama 30 hari, jika tidak berkesan, wang akan dikembalikan.
Selepas 30 hari, jaminan ini tidak lagi sah.

#4-Wang Dipulangkan 2 Kali Ganda

Contoh :
Amalkan supplemen rabun ini ikut arahan, jika tiada penurunan power cermin mata sebanyak 20% selepas 60 hari, kami akan pulangkan wang anda 2 kali ganda.
Lazimnya, pulangan wang jenis ini memerlukan bukti kukuh daripada pelanggan.

Oleh itu, jaminan pulangan wang mana lebih bagus?

Bergantung kepada keadaan!

Pastikan logik dan sesuai dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Pastikan kedua-dua pihak pembeli dan penjual jelas dan faham sebelum akad pembelian berlaku.
Pihak pembeli diminta baca dahulu terma dan syarat. Lebih baik, pihak penjual juga ambil inisiatif menerangkan terma dan syarat jaminan pulangan wang itu sehingga pembeli faham.

Ia bergantung kepada produk. Seperti penggunaan perisian yang dimuat turun, saya sendiri tidak baca. Scroll dan tick sahaja butang ‘I agree bla bla bla….‘ hehe.

Selain itu, anda harus memastikan tiada unsur manipulasi. Contoh, jaminan pulangan wang itu sebenarnya tidak wujud. Sengaja diada-adakan supaya pembeli yakin membeli.


CREDIT GUARANTEE CORPORATION MALAYSIA BERHAD (CGC)

MENGENAI CGC


Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah ditubuhkan pada 5 Julai 1972. Pemegang saham semasa adalah Bank Negara Malaysia (pemegang saham utama) dan bank-bank komersial. Fokus perniagaan teras CGC adalah untuk membantu PKS, terutamanya mereka yang tanpa atau kekurangaan cagaran dan tidak mempunyai rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan memberikan perlindungan jaminan ke atas pembiayaan tersebut. Sejak penubuhannya, CGC telah secara kumulatif menjamin lebih daripada 420,000 pinjaman bernilai hampir RM52 bilion.

Kini, rancangan CGC untuk mencapai agenda pengukuhan kewangannya berjalan dengan lancar seperti yang termaktub dalam pelan transformasi bisnesnya. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, CGC telah mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya dari RM15.6 juta pada 2010 kepada RM160.8 juta pada tahun 2012.



CGC, atau lebih dikenali sebagai ‘firma kredit bagi usahawan kecil’ pada awal penubuhannya lebih menumpukan usaha dalam membantu usahawan kecil dalam bidang pertanian, komersil dan sektor industri. Seiring dengan perkembangan ekonomi Malaysia, pemintaan bagi servis jaminan CGC juga turut berkembang. Produk dan servisnya juga telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan kemudahan kredit yang lebih besar daripada PKS berskala sederhana.

Sokongan CGC kepada PKS tidak hanya bertumpu kepada jaminan pinjaman dan kemudahan pembiayaan, tetapi juga perkhidmatan informasi kredit dan penarafan kredit melalui anak syarikatnya Biro Kredit Malaysia. Melalui Biro, CGC membantu PKS bagi mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Kini, 15 bank Islam, 17 bank komersil dan tujuh (7) institusi pembangunan kewangan telah turut serta dalam skim jaminan kredit CGC yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pembiayaan melalui lebih daripada 2,000 cawangan mereka diseluruh negara.

BERITA: CGC MENYEDIAKAN PEMBIAYAAN UNTUK PERNIAGAAN BARU


KUALA LUMPUR, 2 Jun 2014: Bagi merangsang pertumbuhan perniagaan untuk peniaga yang baru memulakan operasi, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah mengambil inisiatif untuk menjadi tunggak utama bagi institusi kewangan di negara ini dalam menyediakan pembiayaan kepada segmen perniagaan baru yang umumnya dilihat sebagai berisiko tinggi melalui skim baharu BizMula-i.

Sebagai permulaan, BizMula-i memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kerana ia akan menjadi dorongan kepada pembangunan perniagaan baru yang tidak mempunyai rekod atau kolateral.

Prinsip asas skim ini adalah untuk menggalakkan dan memupuk perniagaan secara tunas, yang dilengkapi dengan pelan perniagaan yang berdaya maju, pasaran yang kukuh serta wawasan perniagaan dan pemanduan keusahawanan yang tinggi untuk berjaya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata skim yang berlandaskan Syariah ini adalah unik kerana perniagaan akan dibiayai secara langsung oleh CGC, dengan pembiayaan dari RM50,000 hingga RM300,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga tujuh tahun.

Beliau juga menegaskan adalah penting untuk perniagaan baru mempunyai kemudahan akses kepada kemudahan pembiayaan dengan mudah selain bergantung semata-mata kepada dana mereka sendiri ini kerana ianya tidak mencukupi untuk golongan ini mengekalkan dan mengukuhkan perniagaan mereka.

“Kebiasaannya ia menjadi satu cabaran untuk perniagaan baru yang tiada rekod prestasi kewangan atau cagaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi perniagaan mereka. Oleh itu, BizMula-i telah direka khas untuk menangani jurang yang wujud dalam pembiayaan segmen ini yang dilihat sebagai berisiko tinggi kepada peminjam.

“Portfolio awal yang dicadangkan merangkumi fasa pertama sebanyak RM30 juta daripada CGC yang berpotensi untuk memanfaatkan sehingga 600 perniagaan baharu,” jelas beliau semasa melancarkan BizMula-i hari ini.

Beliau berkata BizMula-i adalah skim yang pertama dalam siri inisiatif CGC yang bertujuan untuk memastikan operasi perniagaan baru berjaya dan terdapat banyak lagi program-program yang telah dirangka sejak beberapa tahun lalu dan CGC telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai jenis pilihan pembiayaan untuk PKS.

“Penting bagi perniagaan baru untuk kekal berdaya saing dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan semenjak dari awal lagi. Oleh itu, BizMula-i akan disediakan dengan harga yang munasabah untuk membantu dalam pengurusan aliran tunai PKS dalam tempoh pertumbuhan yang penting ini.

“Pada akhir tempoh tujuh tahun pembiayaan, beberapa perniagaan ini mungkin masih kekurangan cagaran. Secara strategiknya, kita akan mempertimbangkan untuk membantu memberikan pembiayaan kepada mereka di bawah skim jaminan CGC yang sedia ada,” kata beliau sambil menambah bahawa melalui pembiayaan langsung, CGC akan kekal di barisan hadapan dalam membantu segmen ini yang kurang mendapat perhatian dan merealisasikan potensi penuh perniagaan baru di negara ini.

Kini terdapat kira-kira 137,000 perniagaan yang aktif dan syarikat-syarikat yang beroperasi kurang daripada tiga tahun. Oleh itu CGC menyedari keperluan untuk membiayai kemudahan yang akan mendatangkan faedah kepada mereka. Kebanyakan perniagaan ini dikendalikan oleh peniaga yang berumur dari 35 tahun dan keatas, ianya menyumbang 60% daripada jumlah komposisi perniagaan PKS.

BizMula-i merupakan skim pembiayaan terus dari CGC kepada mereka berusia 21 hingga 58 tahun, dengan lesen perniagaan yang didaftarkan di Malaysia di bawah pihak berkuasa tempatan, dan perusahaan yang terletak di bawah definisi PKS seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (NCSC). Permohonan terbuka kepada Syarikat yang dikawal oleh warganegara Malaysia atau dimiliki rakyat Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51% pegangan saham dan berlesen atau mesti telah beroperasi selama kurang daripada tiga tahun. BizMula-i boleh didapati secara langsung di semua 16 cawangan CGC di seluruh negara.

BERITA: 11STREET BERI JAMINAN PRODUK CANDY B+ COMPLEX


11STREET BERI JAMINAN PRODUK BERKAITAN CANDY B+ COMPLEX DIKELUARKAN DARI PLATFORM PERNIAGAANNYA

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Laman sesawang e-dagang, 11street, sedang bekerja keras bagi memastikan produk yang berkaitan dengan Candy B+ Complex dikeluarkan sepenuhnya daripada platform perniagaannya.

“Ketika ini ada berita yang disebar yang mendakwa Candy B+ Complex, suplemen perangsang seksual yang tidak berdaftar, mengandungi tadalafil, ditawarkan untuk jualan menerusi platform 11street. Kami sedang bekerja keras bagi memastikan jenis produk yang serupa tidak ditawarkan menerusi platform kami,” menurut 11street dalam kenyataan di sini hari ini.



Kementerian Kesihatan dalam kenyataan Rabu berkata Candy B+ Complex, sebuah afrodisiak, telah dirampas berikutan laporan daripada orang ramai bahawa ia dijual di laman e-dagang, http://www.11street.my.

Analisis oleh pihak kementerian mengesahkan bahawa produk itu mengandungi unsur-unsur racun - tadalafil.

“11street memandang serius perkara ini, terutama apabila ia berkaitan dengan kesihatan orang ramai di Malaysia. Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami mengenai kualiti produk yang yang ditawarkan oleh 11street, dan kepuasan pelanggan terus menjadi keutamaan kami,” tambahnya.

-- BERNAMA

BERITA: KUNJUNGAN RASMI DARI (BPJPH), KEMENTERIAN AGAMA, REPUBLIK INDONESIA


KUNJUNGAN RASMI DARI BADAN PENYELENGGARA JAMINAN PRODUK HALAL (BPJPH), KEMENTERIAN AGAMA, REPUBLIK INDONESIA KE BAHAGIAN HAB HALAL, JAKIM.

Putrajaya- Seramai 10 orang delegasi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Kementerian Agama, Republik Indonesia telah berkunjung ke Bahagian Hab Halal, JAKIM pada 23 dan 24 Mei 2018 yang lalu.


Tujuan utama kunjungan adalah bagi mengetahui serta studi banding pelaksanaan pensijilan halal yang digerakkan oleh Malaysia.

Kunjungan selama 2 hari itu diketuai oleh H. Eddy Mawardi dan turut bersama meraikan delegasi ialah Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Antara pengisian utama sepanjang kunjungan ialah sesi pembentangan dan perkongsian kepakaran JAKIM berkaitan prosedur pensijilan merangkumi pengauditan, pemantauan, pengendalian isu-isu hukum, program pembangunan kesedaran halal, program kawalan viral isu halal, perisian aplikasi halal seperti Halal Verified Engine (HVE), Aplikasi Verify Halal, Standard Halal Malaysia, Protokol daging import, peraturan kawalan dan kualiti makanan serta beberapa isu-isu berkaitan halal. Deligasi turut dibawa melawat Makmal Analisis Halal di Bandar Enstek Nilai Ng Sembilan.

Semoga dengan kunjungan dan perkongsian yang dilakukan akan melonjakkan lagi imej pensijilan halal antara dua buah negara bersaudara agar terus kukuh terjalin demi ummah sejagat.

JAMINAN PRODUK: HONG LEONG BANK


CIRI-CIRI AM

Jaminan Bank (BG) adalah dokumen di mana Bank bertindak sebagai penjamin dan membayar sejumlah amaun yang dipersetujui sekiranya pelanggan gagal atau mungkir dalam memenuhi obligasinya di bawah terma dan syarat jaminan tersebut. Terdapat 2 jenis jaminan iaitu Kewangan dan Bukan Kewangan.

Jaminan Kewangan Bank dan Jaminan Bukan Kewangan Bank.

Jaminan Kewangan boleh ditafsirkan sebagai jaminan yang dikeluarkan oleh Bank bagi pihak pelanggannya untuk pihak ketiga di mana Bank bersetuju untuk membayar pihak ketiga sekiranya pelanggan gagal membayar amaun yang tertunggak kepada pihak ketiga.
Jaminan Bukan Kewangan secara umumnya diklasifikasikan sebagai jaminan bon prestasi. Jaminan ini dikeluarkan oleh Bank bagi pihak pelanggannya untuk pihak ketiga, di mana Bank bersetuju membayar ganti rugi kepada pihak ketiga sekiranya pelanggan gagal mematuhi terma dan syarat yang telah dipersetujui dalam kontrak tertentu.

Semua BG yang dikeluarkan mesti mempunyai amaun dan tempoh liabiliti, termasuk tempoh tuntutan yang dinyatakan secara khusus.



CIRI & MANFAAT

Jaminan Bank (BG)
  1. Surat aku janji bertulis yang dikeluarkan oleh bank atas permintaan anda memihak kepada pihak ketiga (benefisiari), yang menjamin pembayaran dalam kes mungkir atau tidak memenuhi keperluan tertentu.
  2. Dikeluarkan tepat pada masanya dan bertindak sebagai sumber aku janji rasmi yang boleh dipercayai serta menyokong keperluan perniagaan.


JAMINAN PRODUK: JAM TANGAN DARI ZALORA


WARANTI JAM TANGAN



Memandangkan arahan dan prosedur waranti adalah berbeza bagi setiap jenama, sila rujuk kepada laman web jenama atau syarikat jam tangan masing-masing untuk maklumat terperinci. Harap maklum bahawa pendaftaran waranti online mungkin diperlukan bagi sesetengah jenama seperti yang dinyatakan di deskripsi produk. Waranti umum bagi jam tangan adalah seperti berikut:

1. Bagi servis waranti di setiap Pusat Servis Jenama individu, sila kemukakan sijil waranti lengkap atau resit pembelian asli (Invois ZALORA). Sekiranya waranti tersebut melindungi masalah jam tangan anda, barangan tersebut akan dibaiki atau diganti mengikut budi bicara Pusat Servis tersebut. Pembaikpulihan adalah percuma sekiranya barangan tersebut terbukti rosak dari segi bahan dan mutu kerja di bawah punggunaan biasa.

2. Waranti hanya merangkumi pergerakan, tangan, dial atau kerosakan semasa buatan. Waranti ini adalah tidak sah jika jam tangan tersebut rosak disebabkan kemalangan, penegendalian salah atau kasar, kecuaian, haus dan lusuh biasa, kerosakan disebabkan elemen air melainkan ia ditanda sebagai kalis air atau faktor-faktor lain yang tidak disebabkan oleh kerosakan dalam bahan atau mutu kerja.

3. Waranti tidak melindungi kanta, kes, tali, dan gelang yang rosak atau haus.

4. Waranti tidak melindungi pembaikpulihan atau pengubahsuaian yang tidak sah.

5. Bateri dalam sebuah jam tangan quartz dimasukkan ke dalam jam tangan secara asal dan mungkin tidak boleh bertahan sehingga tempoh jaminan dan oleh itu, tidak akan dilindungi oleh waranti.

6. Sebarang bentuk jaminan daripada jenama adalah tanggungjawab mereka. Anda boleh menghubungi jenama tersebut secara terus.



BERITA: PRODUK INSURANS, TAKAFUL MASIH TIDAK MENARIK


PRODUK INSURANS, TAKAFUL MASIH TIDAK MENARIK BAGI SEBAHAGIAN BESAR RAKYAT MALAYSIA - BNM

KUALA LUMPUR: Produk insurans dan takaful masih tidak menarik bagi sebahagian besar rakyat Malaysia berikutan kebanyakannya terlalu kompleks dan tidak mampu dimiliki, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, industri itu perlu menumpu golongan yang tidak memiliki jaminan insurans untuk membolehkan mereka dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu perlindungan.

"Ketika ini kadar penembusan industri adalah kira-kira 56 peratus berbanding negara maju yang mencatat 100 peratus.

"Kerajaan menyasarkan penembusan 75 peratus menjelang 2020 namun, pastinya, kita mahu mencatat lebih 100 peratus," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Insurans Malaysia Ketujuh di sini, pada Isnin.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Muhammad berkata daripada perspektif penduduk yang masih tidak mempunyai perlindungan insurans, model perniagaan sedia ada secara dasarnya telah gagal.

Beliau berkata, walaupun sumbangan premium insurans hayat dan takaful keluarga meningkat 48 peratus sejak 2010 namun kadar penembusan hanya bertambah lima mata peratusan sekali gus menunjukkan industri itu semakin menumpukan segmen insurans yang sempit.

"Jika kita mengenepikan pengiraan dua kali, hanya 35 peratus orang dewasa mempunyai sejumlah bentuk perlindungan," katanya.

Malah, katanya, bagi yang telah mempunyai perlindungan, pembelian atau membuat tuntutan adalah proses yang merumitkan.

Gabenor BNM berkata, untuk menangani masalah itu, produk dan saluran penyampaian perlu dipelbagaikan supaya ia lebih menyesuai dengan penduduk keseluruhannya, dan perlu mencakupi tumpuan kepada keperluan perlindungan diperbaharu, terutama untuk pembeli kali pertama.

Bagi tujuan tersebut, Muhammad berkata, bank pusat bekerjasama dengan industri untuk melaksanakan Perlindungan Tenang, platform penjenamaan dan komunikasi kebangsaan, di Kuching bulan depan.

"Perlindungan Tenang bermatlamat mencapai lapan juta rakyat Malaysia pada umur bekerja dan lebih 700,000 perusahaan mikro, yang ketika ini memerlukan perlindungan insurans dan takaful daripada risiko utama," katanya.

Produk berkenaan yang akan dilengkapi logo Perlindungan Tenang, perlu memenuhi tiga kriteria - mampu milik, boleh diakses dan mudah difahami.

"Produk itu bertujuan menyelesaikan masalah yang sering menyebabkan pengguna tidak berminat membeli produk insurans dan takaful.

"Setakat ini, empat syarikat insurans dan empat pengendali takaful telah membangunkan produk yang akan diperkenalkan di bawah inisiatif ini dan BNM menjangkakan lebih banyak syarikat yang akan menyertai platform ini," katanya.

Mengenai perkembangan lain, gabenor juga menggesa industri mengamalkan pendigitalan untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan, yang perlu digiatkan oleh sektor insurans dan takaful.

Beliau berkata, setakat ini pengedaran insurans dalam talian masih menyumbang kurang 0.1 peratus daripada jumlah perniagaan, yang merupakan satu pencapaian teruk, memandangkan pengguna telah sedia menikmati pendigitalan dalam banyak aktiviti harian lain.

-- BERNAMA

BERITA: STRATEGI JAMIN BEKALAN MAKANAN


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu bimbang melihat harga sayur semakin mahal di pasaran. Menurut laporan akhbar bertarikh 23 Ogos 2018, negara ini menjadi tempat longgokan sayur yang kurang bermutu berikutan kelemahan penguatkuasaan terhadap import produk makanan dari negara lain.



Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan cili diimport dari Vietnam, China dan Thailand membanjiri pasaran negara dengan harga lebih murah berbanding produk tempatan. Dianggarkan bagi setiap empat hektar penanaman cili, petani boleh mengalami kerugian sehingga RM20,000 pada setiap musim.

Harga bagi sayur dan buah-buahan biasa telah naik sejak tahun lalu. Perkara ini perlu diberi perhatian segera memandangkan CAP begitu bimbang harganya yang mahal akan menghalang pengguna daripada mengambil sayur dan buah segar yang secukupnya dalam diet mereka.

Malaysia telah gagal dalam sektor pertanian kerana kita terlalu bergantung kepada hasil pertanian yang diimport. Terdapat perbezaan yang ketara antara kita dan Thailand, yang memajukan sektor pertaniannya pada 1960, dengan menggunakan tanah terbiar dan tenaga buruh yang ada.


Tumpuan kepada sektor pertanian, membolehkan kadar ke­miskinan di kawasan desa Thailand menurun daripada le­bih 60 peratus pada awal 1960-an kepada kurang daripada 10 peratus pada awal 2000. Kerajaan negara itu menyokong petani kecil de­ngan memberi kredit pertanian dan sektor itu berkembang maju seiring dengan perindustrian dan perbandaran.

Kemajuan pertanian di Thailand bukan sahaja menyumbang ke arah penurunan kadar kemiskinan di desa malah turut menyediakan jaminan makanan dan pemakanan berkhasiat kepada penduduk. Revolusi pertanian dikembangkan oleh rakyat Thai sendiri; lebih daripada 70 peratus penduduk melibatkan diri dalam sektor berkenaan pada 1980-an di mana sebahagian besar daripadanya adalah golongan miskin.

Sejak 1975, Bank of Thailand (menyamai Bank Negara Malaysia) mengarahkan semua bank supaya memperuntukkan sebahagian daripada pinjaman komersial kepada sektor pertanian. Pinjaman yang diberi itu pula dikenakan kadar faedah yang lebih rendah berbanding kadar pasaran.

Tetapi di Malaysia, sektor pertanian berdepan dengan pelbagai masalah sejak berdekad lamanya dan kini keadaan semakin buruk. Disebabkan terlalu bergantung kepada sayuran import, kita terpaksa membayar lebih untuk produk ter­sebut jika nilai ringgit lemah.

Malaysia dilaporkan membe­lanjakan kira-kira RM3.2 bilion bagi import sayur-sayuran dan buah-buahan pada 2016. Keuta­maan sektor pertanian disalah letak kerana pada 2012, Malaysia memiliki 5.1 juta hektar penanaman kelapa sawit berbanding 52,582 hektar untuk sayur-sa­yuran dan 205,467 hektar untuk buah-buahan. Keluasan tanah bagi kedua-dua sayuran dan buah­an adalah 258,049 hektar, atau cuma 5.1 peratus daripada tanah untuk penanaman kelapa sawit.

Keluasan tanah untuk penanaman buah-buahan di Malaysia telah menyusut dalam tempoh lima tahun (2009 - 2013) sungguhpun hasil tanaman sayur-sayuran kita telah meningkat, kecukupan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan masih jauh berkurangan daripada yang kita perlukan.

Kedudukan ringgit yang lemah turut memberi kesan kepada kos pengeluaran, dalam bentuk penggunaan peralatan dan bahan kimia pertanian yang lebih mahal.

Pergantungan Malaysia kepada buruh asing turut memberikan kesan yang buruk kepada negara. Secara rasmi kita dianggarkan mempunyai 3.2 juta buruh asing atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk pada 2017.

Untuk membendung kemasukan buruh asing tanpa dokumen, pihak berkuasa Malaysia sering menjalankan serbuan dan petani atau pemilik ladang menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing disebabkan masalah biro­krasi. Tambahan pula, sebahagian daripada ladang berkenaan telah digunakan untuk pemba­ngunan hartanah atau bukan untuk tujuan pertanian.

Pada 2012, saintis pertanian, Mohd. Peter Davis telah memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan dengan bencana kebuluran jika ia mengalami keme­lesetan ekonomi yang besar. Tidak seperti negara-negara pengeluar makanan iaitu Thailand dan Viet­nam, Malaysia tidak mempu­nyai pengeluaran makanan yang mapan. D alam masa terdesak, negara-negara tersebut mampu membekalkan makanan kepada penduduk mereka terlebih dahulu sebelum menjual makanan ke­pada negara lain seperti kita.

Kita mungkin tidak akan me­ngalami kebuluran tetapi perbezaan dalam kekayaan menentukan akses seseorang kepada kuantiti dan kualiti makanan. Deklarasi Sejagat mengenai Hak Manusia (PBB 1948) khususnya Perkara 25 menyebut, “Setiap orang berhak untuk mendapatkan standard kehidupan yang mencukupi untuk kesihatan dan kebajikan beliau serta keluar­ganya, termasuk makanan”.

Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaannya supaya disemak semula strategi makanan pertanian sedia ada dengan dasar kerajaan yang tegas seperti:
  1. Membantu pekebun kecil memasarkan hasil pertanian mereka dengan menyediakan hubungan kepada sistem pemasaran yang menyeluruh.
  2. Memberi penekanan kepada pemasaran yang membantu me­ningkatkan pengeluaran pertanian.
  3. Sahkah pekerja asing yang bertukar menjadi ‘tidak sah’ di­sebabkan masalah teknikal mi­salnya majikan gagal memohon permit kerja mereka? Ini dapat membantu memperbaiki masalah kekurangan pekerja di ladang dan sektor-sektor lain.
  4. Kerajaan perlu membentuk pusat keselamatan dan kualiti makanan untuk hasil pengeluar­an demi memastikan hasil pertanian yang diimport dan produk keluaran tempatan memenuhi piawaian yang sedia ada, khususnya berhubung paras sisa racun makhluk perosak.


CAP berharap pihak berkuasa memperbetulkan segala masalah yang dihadapi sekarang yang menjejaskan jaminan bekalan makanan di negara kita.

PENULIS ialah Presiden CAP.


Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/utama/strategi-jamin-bekalan-makanan-1.741856