PRODUK
INSURANS, TAKAFUL MASIH TIDAK MENARIK BAGI SEBAHAGIAN BESAR RAKYAT MALAYSIA -
BNM
KUALA
LUMPUR: Produk insurans dan takaful masih tidak menarik bagi sebahagian besar
rakyat Malaysia berikutan kebanyakannya terlalu kompleks dan tidak mampu
dimiliki, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Beliau
berkata, industri itu perlu menumpu golongan yang tidak memiliki jaminan
insurans untuk membolehkan mereka dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu
perlindungan.
"Ketika
ini kadar penembusan industri adalah kira-kira 56 peratus berbanding negara
maju yang mencatat 100 peratus.
"Kerajaan
menyasarkan penembusan 75 peratus menjelang 2020 namun, pastinya, kita mahu
mencatat lebih 100 peratus," katanya kepada pemberita di luar Sidang
Kemuncak Insurans Malaysia Ketujuh di sini, pada Isnin.
Terdahulu,
dalam ucaptamanya, Muhammad berkata daripada perspektif penduduk yang masih
tidak mempunyai perlindungan insurans, model perniagaan sedia ada secara
dasarnya telah gagal.
Beliau
berkata, walaupun sumbangan premium insurans hayat dan takaful keluarga
meningkat 48 peratus sejak 2010 namun kadar penembusan hanya bertambah lima
mata peratusan sekali gus menunjukkan industri itu semakin menumpukan segmen
insurans yang sempit.
"Jika
kita mengenepikan pengiraan dua kali, hanya 35 peratus orang dewasa mempunyai
sejumlah bentuk perlindungan," katanya.
Malah,
katanya, bagi yang telah mempunyai perlindungan, pembelian atau membuat
tuntutan adalah proses yang merumitkan.
Gabenor
BNM berkata, untuk menangani masalah itu, produk dan saluran penyampaian perlu
dipelbagaikan supaya ia lebih menyesuai dengan penduduk keseluruhannya, dan
perlu mencakupi tumpuan kepada keperluan perlindungan diperbaharu, terutama
untuk pembeli kali pertama.
Bagi
tujuan tersebut, Muhammad berkata, bank pusat bekerjasama dengan industri untuk
melaksanakan Perlindungan Tenang, platform penjenamaan dan komunikasi
kebangsaan, di Kuching bulan depan.
"Perlindungan
Tenang bermatlamat mencapai lapan juta rakyat Malaysia pada umur bekerja dan
lebih 700,000 perusahaan mikro, yang ketika ini memerlukan perlindungan
insurans dan takaful daripada risiko utama," katanya.
Produk
berkenaan yang akan dilengkapi logo Perlindungan Tenang, perlu memenuhi tiga
kriteria - mampu milik, boleh diakses dan mudah difahami.
"Produk
itu bertujuan menyelesaikan masalah yang sering menyebabkan pengguna tidak
berminat membeli produk insurans dan takaful.
"Setakat
ini, empat syarikat insurans dan empat pengendali takaful telah membangunkan
produk yang akan diperkenalkan di bawah inisiatif ini dan BNM menjangkakan
lebih banyak syarikat yang akan menyertai platform ini," katanya.
Mengenai
perkembangan lain, gabenor juga menggesa industri mengamalkan pendigitalan
untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan, yang perlu digiatkan oleh sektor
insurans dan takaful.
Beliau
berkata, setakat ini pengedaran insurans dalam talian masih menyumbang kurang
0.1 peratus daripada jumlah perniagaan, yang merupakan satu pencapaian teruk,
memandangkan pengguna telah sedia menikmati pendigitalan dalam banyak aktiviti
harian lain.
--
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan